Wednesday, February 29, 2012

D Untuk DEWASA, T Untuk TUA

Bismillahirrahmanirrahim.

Ulangtahun kelahiran saya semakin menghampiri. Iya, bahkan saya sendiri tidak percaya, saya sudah memasuki alam 20 tahun dan ke atas.

Bercakap tentang soal ulangtahun kelahiran, saya sebenarnya tidak begitu mengingati tarikh kelahiran insan-insan di sekeliling saya melainkan Ibu, Ayah, dan adik-adik; juga beberapa orang sahabat yang lain. Sejujurnya, sahabat yang paling rapat dengan saya pun tidak saya ingat bila lahirnya. Samada ia adalah kesalahan teknologi kerana menggalakkan otak tidak menghafal, atau sebenarnya diri sudah kurang usaha menghargai orang lain.

Kadangkala, apabila mengingat semula tarikh kelahiran seseorang melalui laman sosial atau catatan pada telefon bimbit, saya mencemuh diri sendiri. Seorang sahabat, atau yang bergelar saudara atau sedarah, seharusnya lebih berusaha menghargai orang. Lihatlah sikap yang ada pada satu bangsa yang kebanyakan daie hari ini mencebik melihat mereka, iaitu Korea atau bangsa K-Pop. Mereka menggunakan honorific dan juga bahasa badan yang tertentu bagi menghormati orang. Dalam masa yang sama juga, mereka sangat berhati-hati pada bahasa. Nah, kita yang bergelar daie ini, bercakap dengan pakcik tua pun tidak memandang muka. Siap boleh memalingkan badan lagi. Inikan pula bercakap soal menghargai insan lain.

Bercakap juga tentang soal ulangtahun kelahiran, saya sejujurnya tidak begitu menggemari majlis sambutan harijadi (untuk saya). Bukan saya sengaja menjadi lain sepertimana sesetengah orang. Sesetengah orang tiba-tiba tidak menyukai sesuatu perkara kerana herd mentalities. Hanya kerana ada sekumpulan orang memperjuangkan alam sekitar, maka mereka pun tidak semena-mena jump into the bandwagon menjadi environmentalist. Walhal, mereka sendiri pun tidak tahu apa green institution itu sendiri.

Cuma, saya tidak menganggap hari ulangtahun kelahiran saya penting. Saya tidak mahu hanya diingati pada hari yang tertentu seperti seseorang yang sudah mati; menerima SMS dan ucapan dari mereka yang sekian lama tidak berhubung, mendapat hadiah tidak semena-mena dan lain-lain. Ya, ini barangkali antara sikap pentingkan diri dalam diri saya yang tidak seharusnya wujud. Bagi saya, mengapa tidak setiap hari sahabat-sahabat kita menjadi istimewa? Mengapa tidak setiap hari kita mengingati mereka? Mengapa tidak setiap hari kita mendoakan mereka? Kerana Allah dan keinginan menghadiahkan syurga semestinya. Bukanlah saya mahu menjadi istimewa dan penting dalam kehidupan insan lain, tetapi ia sebenarnya adalah sikap yang saya cuba tanamkan dalam diri—menghargai sementara masih ada. Tetapi ironinya, saya masih suka menyambut hari ulangtahun kelahiran insan lain dan akan merancang untuk mengadakan majlis kejutan. Dan saya sendiri, masih akan terharu dan menghargai andai ada yang menyambut hari ulangtahun kelahiran saya (kalau ada!).

Becakap juga tentang soal ulangtahun kelahiran, saya juga punya hajat dan hasrat, sepertimana setiap kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua punyai. Tapi tidaklah pula saya mencatat di sini bermakna saya mahukan yang membaca menghadiahkan saya dengan benda-benda berikut. Saya hanya berhajat akan perkara-perkara berikut yang mana saya juga sedang cuba mendapatkannya:
  1. Buku, buku dan buku! Andai anda terfikir untuk menghadiahkan saya kek, hadiahkan saya kek buku.
  2. Almari buku! Saya lapiskan dengan hajat kedua, seandainya dapat almari, saya mahu wakafkan ke pejabat PPIWP.
  3. Dumbbell! Sebenarnya saya dalam proses untuk membeli dua, tapi apa salahnya kalau ruangan bilik saya penuh dengan dumbbell, hehe.
  4. Kasut Nike Lunarglide! Meskipun sudah keluar Lunarlyon, Lunarswift, saya masih terpaut pada Lunarglide yang awal!
  5. Kelas intensif berenang! Selama ini saya hanya berenang untuk suka-suka. Tetapi, semenjak terbeli majalah Triathlon awal bulan dua yang lalu, saya mula membega-bega untuk menjadi perenang serius.
  6. Kit mendaki gunung dan rock climbing! Masih teringat akan sebuah cerita di zaman kanak-kanak dahulu, tak silap Catch Us If You Can, lakonan Kristen Stewart, mengisahkan tentang seorang remaja yang merompak bank demi pembedahan ayahnya yang terjatuh ketika free-tool climbing.
  7. Basikal / mountain bike! Ah, perlukah saya terangkan dengan lebih lanjut lagi?
  8. Kelas bahasa! Baik, ini senarai bahasa yang ingin saya kuasai (mengikut urutan), Mandarin, Jepun, Korea, Turki, Latin, Perancis, German dan Rusia. Andai selesai, saya mungkin mendaftar masuk MI7.
  9. Jam Luminox! Saya begitu meminati jam tangan keluaran Luminox. Atau Momo Design. Atau.. apa sahaja jenis jam tangan yang boleh dibawa menyelam dan berenang!
  10. Apa sahaja yang berwarna hitam, merah, biru dan hijau pekat. Oh, dalam masa yang sama saya gemarkan seni vintage.
Tetapi harus sentiasa diingati. Bukankah hidup kita bukan semata-mata tentang keduniaan? Saya sebenarnya lebih berhajat kepada masa, tenaga dan sikap. Masa, setiap hari saya mengharapkan masa saya sentiasa berlebihan; bukan untuk berehat atau dapat menonton drama Korea, tetapi agar tanggungjawab saya terlaksana dengan baik, dan saya dapat meluangkan masa kepada insan-insan di sekeliling saya dengan penuh dan lebih. Tenaga, ya, saya berharap dikurniakan tenaga (atau sebenarnya nyalarasa—willpower) untuk terus melakukan kerja tanpa tunduk kepada kepenatan. Saya tidak mahu jatuh sakit seperti kebiasaannya, atau saya tidak mahu tunduk kepada kesakitan seperti kebiasaannya. Sikap, ah, inilah yang paling mahal saya kira. Sikap didasari dengan iman, dan tentulah iman mendasar kepada diri yang kenal Pencipta. Saya mahu bersikap seperti Rasulullah, yang mana sikapnya bila bersendirian dan di khalayak ramai boleh ditiru dan dijadikan tauladan. Dan pegangan saya, seandainya apabila bersendirian seseorang itu mampu mengawal dirinya, apatah pula ketika di khalayak ramai.

Nah, sekian saya rasa celoteh panjang di sini. Sebenarnya, saya ketandusan idea untuk menulis—atau sebenarnya ketandusan nyalarasa / passion. Keghairahan menulis menjadi pudar, barangkali diracun perkara-perkara kecil yang menghinggap di hati. Kata seorang sahabat saya, jangan tinggalkan Mishkat. Orang melihat saya dewasa di sini, selepas zaman keanak-anakan di Luftansichten dahulu. Aduhai. Bila saya baca semula blog saya yang lama tersebut, memang ya. Sangat lucu.

Apa pun, hari ini saya sudah pun berusia 22 tahun sebenarnya (mengikut kalendar Hijrah). Dalam perjalanan menuju usia tua ini, sering saya menilai masa lalu. Kadangkala terlupa, yang berharga adalah masa kini!

Wallahua’lam.

1 comments:

k1n4 said...

Selamat ulang tahun...moga allah berkati mu...